Hari ini aku berkenalan dengan seorang wanita. Kalau dilihat
sekilas, usianya dalam lewat 30-an, baya-baya ummi aku. Dia membahasakan
dirinya sebagai mummy. Aku tersenyum dalam hati. Boleh rasa aura penyayang dalam dirinya. Dalam tempoh satu jam
setengah, aku memperoleh selembar ilmu dari butir-butir bicara yang keluar dari
bibirnya.
Dalam pengajian kitab Riyadhus Salikin hari ini, ustaz
mengupas mengenai riya’. Dalam majlis ilmunya juga, ada sedikit ustaz
membicarakan mengenai cintakan dunia (hubbun dunya).
Mummy yang khusyuk mendengar berkata kepadaku, ‘ramai
sekarang yang menggunakan akhirat untuk dapatkan dunia. Mereka menjadikan
akhirat itu sebagai jambatan untuk dapatkan dunia’,
Aku yang mendengar,
berkerut sedikit. ‘Maksudnya?’. Memang aku akui pernah juga mendengar, kalau
kita mengejar akhirat, dunia itu akan ikut bersama kita.
‘Mereka cakap untuk dapatkan akhirat, tapi tanpa mereka
sedar, dunia yang dia perolehi menyebabkan mereka lupa, sebenarnya akhirat itu
adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah, bukan nak dapatkan habuan manusia’.
Aku mengangguk faham.
Mummy ini baru sahaja bekerja di masjid ini. Tugasnya
menjaga kebersihan dan kesucian masjid untuk keselesaan jemaah di sini. Besar
pahalanya kerana membersihkan rumah Allah, setiap hari.
Dia tidak berkahwin, hanya seorang diri. Tidak mempunyai
anak, dan suami namun kasih pada kucing.
Ustaz teruskan lagi
dengan tazkirahnya. Kali ini ustaz menceritakan mengenai dunia ini adalah
laksana bangkai kambing yang tidak
bernilai. Dunia ini setelah Allah ciptakan, Allah tidak memandang lagi ke
arahnya. Kerana dunia ini adalah laknat. Dunia adalah tempat ujian kepada orang
yang beriman dan tidak beriman. Orang yang beriman menjadikan dunia ini sebagai
tempat untuk bersenda gurau, bersuka ria, namun untuk orang beriman, dunia ini
adalah ladang untuk bercucuk tanam.
‘Sebab itulah kita kena zuhud dengan dunia’, Mummy bersuara
perlahan.
Aku memandang mummy. ‘Iyelah, kita nampak orang jadi cantik,
kita pun nak cantik juga,’ aku berkata perlahan.
Mummy senyum. ‘Itu bukan zuhud dah namanya,’
Aku tersengih.
Dalam minggu ini, aku asyik berfikir mengenai ‘cantik’. Bila
semua orang di sekeliling seolah-olah menjadikan cantik itu sebagai lambang
peribadi sebenar, hati aku sedikit terusik. Bijak syaitan mencelah di sebalik
apa yang berlaku. Ujian juga untuk aku yang lemah imannya.
Benarlah, ustaz cakap dunia ni adalah tempat ujian bagi
orang beriman. Kalau kita nak ikut rentak orang yang cintakan dunia, kita pun
akan terheret sama ke lembah itu. Ambillah dunia ini sekadar yang perlu sahaja.
Perkenalan singkat aku dengan mummy membuatkan aku sedar,
masih lagi ada insan di dunia ini yang memandang dunia ini tidak lebih sekadar
tempat persinggahan, tempat yang hina yang Allah pun tidak pandang melainkan
wali-walinya.
Comments
Post a Comment