Hari ini, hari Jumaat. Masa untuk balik ke kampung masing-masing. Giliran kali ini, Alif yang akan memandu. Hadi akan duduk di sebelah sebagai penumpang. Alif dan Hadi merupakan rakan serumah, juga bekerja di tempat yang sama. Kereta Almera milik Alif itu meluncur laju menelusuri jalan kampung, di kiri kanannya dipenuhi dengan pokok kelapa sawit yang kian meninggi. Sesekali ada juga lembu-lembu orang kampung yang terlepas ke tengah jalan. Terpaksalah Alif memperlahankan sedikit kelajuan keretanya. Agak lama memandu, tiba-tiba bunyi deruman motosikal dari arah tepi mengaum hebat. Seorang mat rempit menayangkan aksinya di hadapan mereka berdua. Alif hanya memandang dan terus memecut laju keretanya. Di setiap sisi jalan, Alif melihat ramai anak-anak muda yang sedang menunggu, masing-masing dengan motor. Alif memandang dashboard, jam sudah menunjukkan pukul 7 petang. Hadi yang tika itu asyik menghadap telefon pintarnya, melihat gelagat anak-anak muda di tepi jalan itu sambil meng...